20140825

SEKALUNG TAHNIAH.

Tahniah buat para peserta Kursus Kanu Anugerah Star One yang telah berjaya menamatkan kursus mereka semalam. Kursus ini berlangsung pada 22-24 Ogos anjuran Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Melaka bersama Akademi Laut Malaysia dengan kerjasama Persatuan Kanu Negeri Melaka dan Kelab Kanu Bandar Masjid Tanah serta Cyclone Break Recreation Club Malaysia.

Moga aktiviti berkayak semakin popular dan serasi dengan masyarakat Malaysia. Jom Kayak!

Klik imej untuk zoom.

PS: Diorang training dalam kolam renang Akademi Laut Malaysia tu. Ohsem!  

    

20140824

RAFTING KAYAK/KANU TERBANYAK DI DUNIA.

Satu rekod dunia penghimpunan kayak/kanu teramai telah tercapai di teluk Suttons Floatilla, daerah Michigan pada bulan Ogos tahun lalu (2013). Sebanyak 2099 kayak dan kanu berjaya dikumpulkan untuk meraih tempat dalam Guinness Book of  Record.

Untuk mendapat pengiktirafan Guinness Record, semua kayak/kanu perlu bersentuhan antara satu dengan lain serentak selama 30 saat. Selain itu kayak tersebut mestilah mempunyai sekurang-kurangnya seorang pendayung. Kayak kosong tidak dikira ya. Acara ohsem ini telah berjaya mengutip $50,000 untuk disumbangkan kepada sekolah awam Suttons Bay.

Sebelum ini rekod itu disandang oleh perhimpunan kayak di tasik Fourth, New York dengan 1902 buah kayak (kurang 197 dari rekod 2013) pada tahun 2011.




Pada 13hb September 2014, akan berlangsung acara yang sama di tasik Fourth, New York. Ia bertujuan mengumpul dana buat Breast Cancer Research Foundation antarabangsa serta memecahkan rekod 2013. Saya akan update info ini kemudian jika  ia berjaya dilaksanakan.

PS: Ada tak organisasi yang berminat menganjurkan perhimpunan kayak terbesar di Malaysia? Mesti ohsem kan?! Cuma realiti di Malaysia keghairahan berkayak masih belum berkembang subur seperti di luar negara. Adakah kita mampu mengumpulkan ribuan paddlers seperti mereka? Walahualam :)
   

20140822

SUKARELAWAN KAYAK DIPERLUKAN!


Terbuka kepada paddler yang berpengalaman dan confident!! Jom jadi sukarelawan bagi acara renang kejohanan Ironman Malaysia di Langkawi pada 25-27 September 2014. Elaun makan dan elaun diri disediakan! War-warkan kepada sesiapa yang berkelayakan. Berikan info berikut:
  1. Nama
  2. no Mykad
  3. Alamat
  4. No telefon
  5. Email
PM info kepada FB Yataya Kokuma . Tempat terhad. Tarikh tutup pemohonan pada 10 September 2014 (mengikut kekosongan).
   

20140820

LAURA SUDAH SAMPAI! (PART 2)

...sambungan dari Part 1.

Saya sampai di tasik Putrajaya dalam pukul 10.30 pagi. Matahari agak redup. Angin bertiup perlahan. Memang suasana pagi itu cukup ohsem untuk berkayak. Kelihatan 3 orang pekerja Kelab Tasik Putrajaya sedang sibuk dengan urusan mereka di atas jeti.

Saya mengeluarkan Laura (nama inflatable kayak) dan segala accessories dari beg. Kayak ini datang bersama 2 pendayung, pam, repair kit, skeg, dan 2 inflatable seats. Kayak ini direka untuk 2 pendayung (tandem) tapi boleh adjust kedudukan tempat duduknya menjadi kayak single. Pagi ini saya akan mendayung secara solo.

Explorer K2 dan accessories.
Explorer K2 sebelum di pam.
Proses mengepam kayak ini amat sekejap. Rasanya tak sampai 5 minit. Ia mempunyai 3 chamber utama untuk di pam. Kenapa ada 3 chamber? Andai kata 1 chamber bocor, ada lagi 2 chamber yang mampu bertahan sehingga kita sempat mendayung kedaratan.

Laura yang siap di pam. Kebetulan life jacket (BA) saya pun bewarna kelabu kuning. Baru perasan.

Saya letakkan pam dan beg kayak dibelakang tempat duduk. Agak luas ruang di dalam kayak jika mendayung secara solo. Tiada masalah andai saya meletakkan cooler, dry bag, dan pelbagai muatan samada di bahagian depan atau belakang kayak. 

Baru nak melabuhkan Laura ke air, tiba-tiba kena sound dengan pekerja Kelab Tasik Putrajaya.

Pekerja KTP: Bang, tak boleh guna kayak sendiri di tasik ni. Tasik ni khas untuk Kelab Tasik Putrajaya sahaja.

Saya: Eh? Sebelum ni tiada masalah pun berkayak disini guna kayak sendiri. Lagipun tiada notis atau papan tanda yang melarang orang awam mendayung di sini.

Pekerja KTP: Memang tak boleh bang. Sebelum ini sesiapa yang guna kayak sendiri akan ditahan dan kayak mereka akan dirampas. Hanya kayak yang disewa dari Kelab Tasik Putrajaya sahaja dibenarkan.

Terkejut juga saya apabila diberitahu sedemikian. Rupanya tasik Putrajaya telah dimonopoli oleh kumpulan tertentu. Yang menghairankan, kenapa ada papan tanda 'jeti awam' jika tidak dibenarkan penggunaan kayak persendirian?

Saya meletakkan Laura dibawah pokok. Tiada niat untuk saya balik ke rumah sebelum membelah tasik Putrajaya menggunakan kayak baru ini. Saya menunggu peluang. Masa berlalu. Jam menunjukkan pukul 11.45 pagi. 

Kemudian saya lihat pekerja-pekerja KTP mula beredar dari jeti. Mungkin urusan mereka sudah selesai. Dengan sepantas kilat saya melabuhkan Laura ke permukaan tasik dan terus mendayung menjauhi jeti awam tesebut.
   


Perkara pertama yang saya perasan apabila mendayung kayak inflatable ini adalah ia SANGAT SELESA! Saya telah mendayung pelbagai kayak hard-shell dari jenama Feelfree, Ocean Kayak, Perception dan lain-lain. Namun kayak inflatable sememangnya mengatasi kayak hard-shell dari segi keselesaan. Rasa sangat santai dan relax seperti berada di katil sendiri.

Kayak inflatable tidak selaju kayak hard-shell. Itu saya sangat pasti. Namun ia tidak juga terlalu perlahan. Laura meluncur dengan kelajuan sederhana, tidak laju dan tidak perlahan. Tracking juga agak baik. Tiada masalah untuk saya mendayung lurus.




Pokok Senduduk yang berbunga lebat ditebing tasik Putrajaya.
Setelah 30 minit mendayung, tiba-tiba terasa berat. Rupanya langit telah mula mendung dan  angin bertiup kencang menyebabkan permukaan tasik bergelora. Memang struggle mendayung melawan angin. Kelebihan kayak inflatable ini adalah ringan. Namun faktor ini juga menjadi kelemahan apabila berhadapan dengan kekuatan angin. Mungkin tiada masalah jika saya mendayung berdua. Mendayung solo dalam situasi begini amat menguji stamina dan skill.

Video di bawah saya ambil sewaktu langit mula mendung dan angin bertiup kencang. Tracking tidak lagi lurus seperti waktu tasik tenang.


Niat di hati ingin meneruskan perjalanan kerana nak lihat prestasi Laura sewaktu hujan (adakah air cepat bertakung dan lain-lain). Namun saya batalkan hasrat kerana seriau mendengar dentuman petir di langit. Saya segera berpatah balik menuju ke jeti. Tiada masalah apabila mendayung mengikut angin. Hujan mula turun apabila saya sampai ke jeti.

Saya belum dapat memberi review lengkap kayak Explorer K2 kerana ini baru percubaan pertama dan terlalu sekejap. Secara kasarnya saya boleh simpulkan beberapa kelebihan dan kelemahan Kayak Inflatable Explorer K2 seperti di bawah:

Kelebihan:
  1. Mudah dibawa kemana-mana.
  2. Tidak memerlukan ruang simpanan yang besar. Jadi boleh disimpan di bawah katil, almari, bonet kereta dan lain-lain.
  3. Ringan berbanding kayak hard-shell (kayak biasa).
  4. Set lengkap. Tidak perlu beli pendayung, pam & repair kit secara berasingan.
  5. SELESA! SELESA! SELESA!
Kekurangan:
  1. Angin dan ombak mempengaruhi prestasi kayak ini. Masalah ini mungkin boleh diatasi dengan berkayak secara berpasangan.
  2. Paddle tidak boleh di adjust mengikut keselesaan pendayung. Solusinya, guna paddle lain.
  3. Perlu dikeringkan sebelum simpan bagi mengelakkan dari kulat. Leceh sikit. Saya lipat dan masukkkan dalam kereta waktu ia masih basah dan kemudian lap atau jemur ia dirumah.
Buat masa sekarang, saya amat berpuas hati. Keselesaan yang diberi oleh Laura cukup untuk saya menutup mata kepada kelemahan-kelemahan yang ada. Apa-apapun ini baru permulaan. Pelbagai plan XPDC telah tersusun didalam kotak fikiran saya untuk Laura. Nantikan kisahnya di blog OhsemKayak.com pada masa hadapan. 

 

20140819

LAURA SUDAH SAMPAI! (PART 1)

Laura? Siapa Laura? Tanya wife apabila terdengar saya menyebut nama itu beberapa kali tanpa sedar. Saya sudah menunggu Laura selama 13 hari. Kini baru berjumpa face-to-face. Memperkenalkan kayak baru saya, Laura. Ianya sejenis kayak inflatable (kayak udara, perlu dipam angin), jenama Intex, model Explorer K2.

Dari mana datangnya nama Laura? Saya beli kayak inflatable ini melalui internet. Reseller kayak ini terletak di US. Sebelum memutuskan untuk membeli kayak ini, saya telah mengajukan beberapa soalan kepada wakil syarikat tersebut yang bernama miss Laura. Disebabkan perbezaan waktu Malaysia dan US, Laura akan membalas email saya selepas pukul 12 malam. Lantaran terlalu excited nak dapatkan info produk dari beliau, tanpa sedar saya menyebut nama Laura apabila membuka email sehingga membuatkan wife curiga. 

"Siapa Laura?" tanya wife.

"Nama kayak la" jawab saya mudah tanpa menerangkan lebih lanjut.

Selepas itu wife sering bertanya, bila Laura nak sampai? Rasa nak tergelak pun ada sebab wife memangil kayak Explorer K2 itu sebagai Laura. Jadi dalam masa 13 hari menunggu, nama Laura sudah melekat pada kayak ini. Haha..


Walaupun kayak jenis inflatable tidak popular di Malaysia, namun ianya digunakan secara meluas di luar negara. Saya telah membuat perbandingan dari segi jenis, harga dan testimoni pengguna pelbagai kayak inflatable. Saya dapati rata-rata inflatable kayakers berpuas-hati dengan kayak Explorer K2 lantaran harga yang tidak menyakitkan poket dan kualitinya mantap.

Bentuk kayak ini juga unik berbanding kayak inflatable jenama lain seperti Sevylor, Innova, Aire, Sea Eagle dan lain-lain. Kayak ini direka mengikut bentuk kanu puak Red Indian. Warna kuning kelabunya juga amat memukau pandangan mata. Ia mendapat kelulusan dari TUV & US Coast Guard. Keunikan ini yang membuatkan saya memilih Explorer K2 sebagai kayak inflatable saya yang pertama.

Syarikat reseller Intex memproses pembelian saya selama 3 hari dan penghantaran dibuat dalam 9 hari menggunakan perkhidmatan United States Postal Service (USPS). Kemudian di ambil alih oleh Pos Laju yang menghantarnya ke hadapan pintu rumah. Maka total 13 hari semuanya.

Posmen yang menghantar mengeluh sebab berat nak angkut dari van Pos Laju ke rumah.


Selfie atas Laura yang telah siap di pam.
Kayak Explorer K2 dan accessories yang datang bersama dalam 1 kotak.
Jadi next step adalah sesi menilai prestasi Laura di atas air. Saya memilih tasik Putrajaya sebagai lokasi maiden voyage untuk kayak baru ini. Tasik Putrajaya memang sesuai kerana ianya luas dan sedikit berombak. Maka takala orang lain berpusu-pusu menuju ke tempat kerja, saya bergerak ke Putrajaya bersama-sama Laura. Tidak seperti kayak-kayak lain yang saya letak atas bumbung kereta, Laura duduk dengan selesa di seat belakang tanpa ada masalah. Inilah kelebihan utama kayak jenis inflatable.

Akan bersambung ke siri 2, KLIK DISINI...
   

20140815

JAMBORI MERDEKA; KANU ARUS DERAS.

Malaysian Board of Canoe Education (MBOCE) akan menganjurkan jambori Merdeka bagi sukan kanu arus deras di Sungkai, Perak pada 29-31 Ogos ini.

Saya belum dapat maklumat lanjut mengenai program ini. Klik pada banner dibawah untuk melihat secara ringkas tentatif program jambori tersebut.

Klik imej untuk zoom.

*Update@18.8.14: 
Sempena menyambut kemerdekaan yang akan menjelang tiba, Lembaga Pendidikan Kanu Kebangsaan akan mengadakan "Jambori Arus Deras Merdeka 2014" bertempat di Sungai Klah Sungkai, Perak. Jambori yang julung kali akan diadakan ini bertujuan menghimpunkan penggiat arus deras di seluruh Malaysia dan mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan penggiat kayak. Kepada yang berminat sila berhubung dengan Jasni Mustafa untuk pendaftaran dan penerangan lanjut. Kesemua kelengkapan berkayak adalah tanggungan sendiri. Jom bersama kita memeriahkan!!-MBOCE